Menanti Detik Keputusan SPM : Pesanan Buat Anakanda Tercinta Muhammad Adam Iman
Sedikit pesanan dari Umi dan abah buat Iman . Sebelum Iman buka keputusan SPM esok, Umi dan abah nak cakap sikit kat Iman. Walau apapun yang tertulis di kertas keputusan itu nanti, Umi dan abah tetap bangga dengan Iman. Sangat sangat bangga. Umi dan abah tahu, sepanjang tempoh persediaan untuk SPM Iman telah memberikan yang terbaik dan tak pernah nak ambil mudah. Dari awal tahun, Iman mula susun jadual belajar dan setiap kali ada masa terluang Iman gunakan sebaik mungkin masa yang ada untuk ulangkaji. Umi nampak semua tu Iman. Alhamdulillah..
Iman usaha belajar siang malam sebaik mungkin untuk setiap subjek, set target dan usaha untuk capai setiap target. Umi dan abah tahu bukan mudah kan? Banyak cabaran yang Iman hadapi, tetapi anak Umi ini tetap bertahan. Itu yang paling Umi abah kagum. Semangat dan jugak ketekunan yang tak pernah luntur untuk meraih yang terbaik.
Walau Apa Keputusan Yang Dapat Bersyukurlah Wahai Anak
Umi dan abah nak ingatkan pada Iman, SPM ni bukan segalanya. Walaupun keputusan SPM ni penting, ia adalah batu loncatan dalam perjalanan hidup yang lebih panjang. Keputusan yang Iman dapat esok bukan penentu siapa diri Iman, bukan pengukur sejauh mana Iman boleh berjaya dalam hidup. Yang penting, bagaimana Iman bangkit, bagaimana Iman belajar dari setiap pengalaman.
Walau apapun keputusan SPM Iman esok, ia tak akan pernah menjejaskan potensi besar yang ada dalam diri Iman. Umi dan abah percaya, Iman akan terus maju dan mencapai segala yang diimpikan, kerana Umi dan abah nampak sifat gigih dan tekad dalam diri Iman yang tak semua orang lain ada.
Andaikata keputusan yang keluar nanti menggembirakan hati Iman, alhamdulillah bersyukurlah wahai anak. Tapi kalau ianya tak seperti yang Iman harapkan, jangan berputus asa. Itu bukan pengakhiran. Itu adalah permulaan untuk sesuatu yang lebih besar. Ingat pesan Umi dan abah ni ...
Umi dan abah nak ingatkan Iman lagi sekali, walau apapun keputusan SPM esok jangan lupa untuk terus rendah diri dan bersyukur. Sesungguhnya kejayaan bukan hanya tentang nombor atau keputusan tetapi tentang bagaimana kita sebagai seorang anak dan sebagai seorang pelajar menjaga akhlak, menyayangi orang lain dan terus berusaha menjadi insan yang lebih baik setiap hari. Itu yang Umi dan abah impikan dari lman.
Teruskan hidup dengan hati yang besar, dengan semangat yang tak kenal erti putus asa dan yang paling penting jangan pernah lupakan Allah dalam setiap langkah. InsyaAllah, tolong sematkan nasihat Umi dan abah kat dalam hati Iman setiap saat dan ketika.
Terima Kasih Jadi Anak Yang Baik
Doa Umi agar Iman jangan pernah berhenti berusaha dan teruskan berusaha menjadi lebih baik. Apa pun keputusan nanti, terus jadi Iman yang kuat, positif dan penuh semangat.
Tanda Kasih & Sayang
UMI ABAH
23 April 2025
23 April 2025